Sunday, November 11, 2012

Kisah saya dan Pemuda gentleman.


Suatu petang, semasa nak pulang ke rumah, saya berhadapan dengan satu insiden yang bagi saya 'kurang biasa' :)

Masa tu, saya dan kakak saya nak naik bas pulang ke rumah.
Keadaan sedikit tergesa-gesa bila semua orang berpusu nak balik.

Kami pun antara yang tergesa-gesa. :)

Sesampainya kami di bas yang mahu dinaiki, kami terhenti dihadapan bas.

Berkira-kira mahu naik atau tidak.

Tempat yang kosong cuma ada di tempat paling belakang. Ada dua seat kosong dan di tepi kiri kanan adalah lelaki.

Hmm. Saya pandang kakak, kakak pandang saya.
Naik ke tak? Naik ke tak?

Sedang kami berfikir-fikir, ada seorang pemuda berbaju putih, berkopiah putih yang duduk di seat bahagian depan bersebelahan seorang makcik memerhati kami.

Seperti tahu apa yang kami fikirkan dan risaukan, dia dengan segera beralih ke seat kosong dibelakang.

Saya terkesima. Tak sangka dia akan beralih.

Oh. Saya dan kakak sedikit gembira.

"Oh. Gentleman pemuda tu" hati saya berkata.

Bukan senang nak jumpa pemuda macam tu. Sebab sebelum ni, saya pernah je hadapi situasi dimana lelaki tak nak beralah.

Selalu saya hadapi situasi dimana saya dibiarkan bersesak di dalam bas. Sedang ada lelaki yang senang lenang duduk hanya memandang saya tanpa simpati.

Dan ada juga lelaki yang sanggup membiarkan saya 'duduk terpaksa' disebelah lelaki, tanpa rasa bersalah hinggap di hatinya.

Huh.

Namun hari ini, ada seorang pemuda yang sensitif hatinya. Alhamdulillah.

Beginilah pemuda yang dicari, pemuda yang diharap lebih ramai mendiami bumi. :)

Mungkin ianya pernah anda alami, Alhamdulillah, bukan semua orang akan alami kan? :)

Apapun, mudah-mudahan kita menjadi antara yang akan menjaga saudara muslimah kita walau di mana kita berada. :)

Jom, jadi seperti pemuda itu! :)
Jom, sensitifkan hati ke arah yang baik. :)

InshaAllah. :)
Demi agama, Demi Allah. :)

Sebar Bahagia!

Wednesday, November 7, 2012

Dialog: Saya Tak Sesolehah Yang Kamu Sangka!


Seorang sahabat mendatangi saya dengan senduan. Ada sesuatu yang memberati dirinya.

Saya: Awak kenapa?

Sahabat: Saya..saya..

Airmata berlinangan. Senduan masih kuat. Saya membiar.
Seketika keadaannya mereda, saya bertanya lagi.

Saya: Awak ok?

Sahabat: Hmmph.

Saya sekadar memandang ke hadapan, membiarkan dia melayani dirinya dulu.
Jika mahu berkisah, berkisahlah sahabat.

Sahabat: Awak.. Nak kongsi sesuatu dengan awak boleh?

Saya mengalih pandang. Senyum.

Saya: Yep. Boleh sangat. Apa dia?

Sahabat: Hati saya rasa berat. Rasa beban.

Saya: Kenapa? Ada masalah berat?

Sahabat: Mm,. saya tak taulah berat ke tak ni. Tapi bagi saya, bendanya cukup membebankan saya.

Saya: Apa dia? Ceritalah.

Sahabat: Awak pernah dianggap solehah?

Saya: Dianggap solehah? Maksud?

Sahabat: Maksudnya, orang sekeliling awak semua kata yang awak ni solehah, baik.

Saya: Ermm. Pernah kot. Kenapa?

Sahabat: Saya letih. Saya letih dengar orang sekeliling kata saya ni baik, saya ni solehah, saya ni begini-begini, begitu-begitu.. sedangkan, mereka tak tahu buruknya saya.

Saya: Bukan memang betul ke awak baik?

Saya senyum.

Sahabat: Memang orang yang tengok kita, nilai kita, tapi hanya kita yang tahu baik buruk kita. Mereka cuma nampak yang zahir, yang dalam-dalam? Saya je tahu.

Saya: Jadi maksudnya awak ni tak baik?

Sahabat: Ya. Saya bukanlah sebaik yang awak dan semua sangka. Saya bukanlah wanita yang solehah seperti mereka anggapkan. Saya banyak dosa. Terhimpun segala noda dan dosa, tapi mereka tak tahu.

Saya: Oh..

Sahabat: Hanya kerana saya selalu update status kat FB yang baik-baik, saya buat entri baik-baik kat blog, mereka sudah mengatakan saya baik, saya solehah. Padahal mereka tak tahu yang sebenar. Awak, saya terbeban dengan anggapan mereka.

Saya: Itukan doa. Kenapa awak terbeban sangat?

Sahabat: Saya risau. Takut-takut saya tidak seperti yang mereka sangka, pada akhirnya kalau mereka tahu segala buruk saya, mereka akan menghina saya.

Saya: Jadi sekarang awak nak apa?

Sahabat: Saya nak mereka berhenti bercakap. Saya bukanlah solehah, saya tak baik seperti yang mereka sangka. Sedang kadang-kadang saya kalau update status kat FB pun saya selalu saja-saja, bukan nak berkongsi pun, saja nak orang like. Nah, mereka tak tahu benda ni. Saya tak ikhlas. Saya tipu dalam kebaikan.

Sahabat saya tertunduk menangis. Saya hiba.

Membiarkan dia hanyut seketika dan saya mencari kata yang sesuai. Helaan nafas saya lepaskan.

Saya: Awak. Saya nak cakap sesuatu boleh?

Sahabat saya mengangguk serta-merta memandang saya dengan mata yang bengkak.

Saya: Awak memang baik tau tak?

Sahabat: Aaa?

Saya: Orang yang baik akan merasa dan menilai dirinya. Orang yang baik tidak akan hanyut dengan pujian, tetapi akan sentiasa menghitung-hitung dirinya.

Sahabat: Tapi.. saya..

Saya: Jap. Bagi saya habis cakap dulu ye.

Sahabat: Ok..

Saya: Kalaupun betul kita ini tidak baik dari pandangan kita, adakah ianya benar? Lupakah kita penilaian yang sebenar adalah dari Allah? Kalau dikira-kira, hanya Allah yang memahami kita. Kadang-kadang, kita sendiri tak mengenali diri kita.

Lagi satu, apa yang orang kata itu anggaplah sebagai doa. Dan kita berdoalah agar apa yang mereka kata itu akan benar-benar menjadi. Tak perlu bebankan hati kita dengan penilaian manusia, sebab, yang kita cari adalah pandangan Allah, bukan pandangan manusia.

Sahabat: Macamana dengan dosa-dosa saya? Saya sentiasa rasa tak layak dipanggil solehah.

Saya: Dosa-dosa kita adalah aib kita. Biarlah Allah yang menentukan itu, pohonlah pada Allah agar aib kita itu ditutupNya. Tak perlu untuk kita ceritakan pada orang lain semata-mata untuk menyakinkan orang lain yang kita ni tak solehah. Ingat, diri kita juga punya hak dari kita. Kita wajib tutup aib kita sendiri. Dosa kita tanggungjawab kita, serahkan pada Allah semuanya.

Sahabat: Jadi, biarkan orang terus cakap yang saya ni baik? Saya ni solehah?

Saya: Yup. Apa orang nak kata itu adalah luar kawalan kita. Bersyukurlah bila mereka cakap yang baik-baik, InshaAllah itu akan menjadi doa. Awak tak payahlah nak risau-risau ye.

Sahabat: Pasal keikhlasan hati saya bila update status dan blogging tu?

Saya: Hmm. Muhasabah diri balik. Pada awal melakukan kebaikan, mungkin kita kelihatan hipokrit dan 'terpaksa'. Apa yang kita mampu lakukan, teruskan je walau dalam keadaan terpaksa. InshaAllah, bila kita sentiasa dalam melakukan kebaikan, keikhlasan tu akan datang sendiri. Dengan syarat, kita memang berazam untuk ikhlas. Macam solat juga, kecik-kecik dulu kita ikhlas ke nak solat? Kita terpaksa kan? Mak paksa solat, ayah paksa, cikgu paksa, sebab kena paksa kita solat. Sekarang, kita solat sebab terpaksa ke?

Sahabat saya menggeleng perlahan.

Saya: Nah, kalau begitu teruskan je. InshaAllah, lama-lama nanti, hati jadi malu jika tak ikhlas. Kita sabar, doa dan usaha untuk ikhlas sedikit demi sedikit.

Saya mengusap-usap belakang sahabat saya, dengan harapan ada sedikit ketenangan menjengah hatinya.

Sahabat: Hmm. InshaAllah. Terima kasih awak.

Saya: Sama-sama. Apapun, awak sentiasalah doa agar awak benar-benar menjadi seperti anggapan mereka. Bersangka baiklah ye.

Sahabat: Ye, baiklah awak yang comel.

Saya: Hehe. Comel ke saya? Saya comotlah.

Sahabat: Comelll sangattt. Hehe.

Saya: Hehe. Ye lah tuu.

Sahabat: Awak, saya sayang awak. Terima kasih tau. Saya lega sangat.

Saya: Allah..., saya sayang awak juga. Syukurlah, Allah yang bagi lega. Bukan saya.

Sahabat: Allah hantar awak untuk saya.

Saya terdiam.
Menitis air mata.

Tidak berkata apa,
kami berpelukan.

:')

Nota sahabat solehah:
Usaha untuk jadi baik, usaha untuk jadi solehah.
Baik dan solehah bukanlah destinasi tetapi suatu proses tidak berpenghujung sehinggalah kita menapak Syurga.

Jika mereka berkata dirimu solehah, aminkan lah, terus dan terus berdoa agar kata-kata mereka benar menjadi kenyataan.

InshaAllah. ^__^

Sebar Bahagia! ♥

Kita Hamba. Lakukan kerja Hamba.


Satu benda yang kita tahu, tapi kita tak lepas dari tidak menyedari.

:)

Bila kita sedar kita ini Hamba, kita tidak akan mudah mempersoalkan kenapa itu, kenapa ini, kenapa semua terjadi.

Kerana kita tahu, kita Hamba.
Yang menjadikan semua itu Yang Maha Berkuasa, Allah.

Dan kerana kita Hamba,
kita lakukan kerja Hamba.

Kerja Hamba yang bagaimana?
Yang berdoa, berusaha, bertawakkal secara bersungguh-sungguh.

Bila kita sedar kita ini Hamba,
Hidup kita InshaAllah bahagia.

Kerana Hidup adalah pilihan kita.
Pilihan yang Allah beri.

Pastinya, seorang mukmin, seorang muslim yang baik,
akan memilih untuk tenang dan bahagia.

Hidup ini pilihan?
Bagaimana tu?

Ya, Allah mentakdirkan bermacam-macam pada kita,
pada suatu ketika,
kita merasakan takdir kita itu sukar, menyusahkan dan membebankan.

Kerana apa?
Kerana kita memilih untuk merasa sukar, menyusahkan dan membebankan.

Ibaratnya,
Andai kita diberi pisau,
kita boleh buat apa saja dengan pisau itu.
Samada manfaat, atau mudarat.

Ianya terpulang pada pilihan kita.
Kan?

Ada orang, rasa pisau itu sangattt bahaya.
Pisau boleh membunuh katanya.

Ada orang, rasa pisau itu sangatttt bagus.
Pisau boleh memudahkan kerja memasak katanya.

Nah, begitu juga dengan kehidupan kita.
Allah Cuma berikan kita ujian, kita yang menentukan ‘rasa’ ujian itu.
Samaada ujian itu menyusahkan atau menguatkan.

Bila kita sedar yang kita ini Hamba,
Kita akan sentiasa melihat indahnya takdir,
Walau sedebu perkara.

Kerana di hati kita,
Mekar dengan keberadaan Allah.

Sunyi?
Bila kita sedar kita ini Hamba,
Kita tak akan pernah rasa sunyi.

Kerana Hamba itu punya Tuan.
Dan Tuan kita adalah Tuan segala Tuan.

Tuan yang Cuma satu,
Hanyalah Dia, Allah yang Maha Luas CintaNya.

Sepanjang 23 Tahun,
Saya masih menjadi Hamba,
Dan akan terus mengabdi diri menjadi Hamba.
Menjadi Hamba itu nikmat,
Hati tenang, juga bahagia.

Mampukah dirimu rasa duhai sahabat,
Apa yang saya rasa?

Dekat di hati,
Rindu padaNya memicit-micit jiwa,
Kian sesak, kian terhimpit.

Allah,
Rindu!

:')

Jual mahal sebelum nikah, jadi lebih mahal selepas nikah.

Fahami betul-betul. :)

Ramai wanita yang hanya tahu jual mahal sebelum nikah, tapi mereka lupa untuk jadi lebih mahal selepas nikah. :)

Jual mahal sebelum nikah inshaAllah semua tahu. Tapi, jadi lebih mahal selepas nikah tu apa pula?

:)

Sepemerhatian saya, ramai muslimah yang sangat menjaga dirinya sebelum nikah tetapi selepas nikah, dirinya sudah tidak dijaga serapi seperti semasa menjadi anak dara.

Macamana tu?

Kalau sebelum nikah, aurat dijaga sangat rapi. Handsock dipakai dengan comel sentiasa, stokin kaki tak pernah terlucut, pakaian sentiasa kemas dan sebagainya.

Tapi, bila tiba selepas nikah, aurat mula diringan-ringankan. Handsock menjadi rimas untuk dipakai. Kadang pakai, kadang tidak.
Stokin kaki begitu juga, hanya dipakai bila keluar rumah, itu pun jika rajin. Bila saudara mara datang ke rumah, stokin tidak pakai, walhal yang datang itu bukan mahram si wanita. Pakaian pun begtu, setelah bernikah dan beranak-pinak, pakaian selekeh, pakaian dalam rumah pun boleh dipakai ke luar rumah.

Allahu Allah.

Inilah antara realiti wanita muslimah yang sudah menjadi isteri mahupun ibu.
Realiti yang saya lihat dan saya perhatikan.

Sedih. :(
Kenapa kita tega membiar aurat istimewa untuk suami kita, kita pertonton sedikit demi sedikit pada yang bukan mahram kita?

Sedih bila ada wanita muslimah yang boleh menyusukan anaknya setenangnya di hadapan bukan mahram sehingga seinci aurat kelihatan.

Sedih bila ada wanita muslimah yang boleh berkain batik, berbaju singkat sedikit tatkala melayani tetamu yang bertandang ke rumah. Tetamu itu kawan suami yang bukan mahram si wanita muslimah.

Allah, tidakkah itu mengaibkan? Tidakkah itu sedikit 'murah'? Tidakkah itu mengecewakan sang suami?

:(

Lupakah kita betapa menjaganya kita tentang aurat sebelum bernikah?

Mana kita yang 'jual mahal' dulu? :(

Ingatlah muslimah sekalian, aurat itu wajib ditutup dan dijaga bukan hanya sebelum bernikah. Tetapi, selagi kita bersama yang bukan mahram, kita wajib menutupnya. Sama ada diluar rumah rumah mahupun di dalam rumah.

Jual mahal untuk mana-mana lelaki,
Jadi lebih mahal untuk suami.

Usah 'jual' lagi setelah bernikah, jadilah sangat-sangat mahal sehingga memang tak mampu 'dibeli' lagi.

Maka, ini bermakna, penjagaan aurat setelah bernikah itu bahkan sepatutnya lebih dan lebih hebat. Bukan sewenang-wenangnya terbiar dilihat, tapi jadi lebih sukar untuk diintai sesuku inci pun!

Allah...

Fahamkah dirimu duhai saudara semuslimahku?

Moga Allah beri kefahaman untuk diri kita semua. :')

Moga kita mampu jadi wanita yang 'jual mahal' sebelum pernikahan dan 'jadi lebih mahal' selepas pernikahan.

InshaAllah. :)

Untuk kesekian kalinya, saya nak ajak semua sahabat untuk istiqomah menutup aurat. :)

Jom, tutup aurat.
Jom, istiqomah kerana Allah.

:)

Salam Sebar Bahagia! :)

Monday, September 17, 2012

Luahan: Aku pun wajib berdakwah rupanya!



"Buat apa aku perlu berdakwah? Ustaz dan ustazah kan ada, pendakwah kan ada... Kalau aku buat, apa kerja pendakwah?"

>>Itu antara alasan yang selalu dilontarkan daripada mereka yang enggan berdakwah.

:: Berdakwah ::

Kerja pendakwah semata ke?

Cuba periksa, Surat Cinta yang ke 16 (An-Nahl) ayat yang ke 125, Penciptamu telah berfirman:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesunguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"

>>Lalu bagaimana?? Sedarlah duhai teman, dakwah itu kerja kita semua. KITA SEMUA. Pelajar ke, cikgu ke, ustaz ke, doktor ke, pekebun ke, pemungut sampah ke, semuanya BERTANGGUNGJAWAB dalam berdakwah.

(Tapi aku takde ilmu.)

>>Takde ilmu, maka menuntut lah ilmu. Tak kan nak tunggu?

~Mencari ilmu itu kewajipan. Bila dah ada ilmu, amalkan. Bila dah amal, ikhlaskan hati. Bila dah ikhlas, sampaikan. Jangan sembunyikan ilmu. Kongsi!~

>>Sampaikanlah dakwah walau dengan satu ayat. Berdakwahlah di sepanjang detik hidup. Tiap ketika berdakwah.

~Bagaimana? 

>>Jadi contoh. Jadi teladan. 

"Jadi contoh untuk keluarga terutamanya. Itu dakwah!

Berdakwah dengan keluarga. Dengan jiran, dengan kawan, dengan masyarakat."

>>Sedarlah teman, ini TANGGUNGJAWAB yang Allah akan tanya di akhirat nanti. 

(Hmm. Tapi 'dakwah' tu macam berat je.) 

>>Berat ya istilah 'dakwah' itu? Kalau macam tu, kita tukar.

-->Menyampaikan.

Ada rasa ringan sikit tak istilah tu?

>>Ermm. Tak jugak?

-->Berkongsi.

Ringan tak?

>>Emm. Ringan sikit ye?

Alhamdulillah. Kalau begitu, mari kita 'berkongsi'!

Mari kita 'Sebar Bahagia'.

Kawan, Sahabat, Teman, 

Jangan pernah merasa 'cukup' dengan kebaikan yang kita kongsikan, kita sebarkan, tapi, BERUSAHA dan TERUSLAH berkongsi sehingga nafas yang terakhir.

Allah tidak melihat apa yang terhasil, tapi Allah melihat pada KESUNGGUHAN kita berdoa, berharap padaNya dan berusaha melakukan.

Untuk terakhir kalinya, RENUNG DALAM-DALAM Surat Cinta Allah yang ke 41, ayat 33 ini:

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."

Moga dirimu merasa!

Sebar Bahagia! :)

Kisah: Pernikahan itu indah?


Suatu ketika itu,

kakak mengingatkan saya tentang beratnya tanggungjawab seorang suami.

Pada saat suami melafazkan akad nikah, di situlah dia bermula menjadi sangat berani untuk memikul segala tanggungjawab yang akan terbeban di bahunya.

Suami bertanggungjawab segalanya atas perbuatan si isteri. Berani tak berani?

Dosa sendiri tidak tertanggung, mahu tanggung dosa orang lain?

Namun, berapa ramai lelaki yang ingat akan hal ini? Hatta, berapa ramai yang tahu hakikat hal ini?

Sekarang ni, ramai yang bernikah kerana mahu menghalalkan perhubungan. Semata. Ramai yang lupa akan hal tanggungjawab sebenar sebagai suami dan juga isteri.

Kalaulah semua lelaki sedar akan hal ini, maka InshaAllah tidak akan ada yang bermain dengan hal pernikahan. Ia bukan hal samarinda.

Kadang-kadang, saya tidak habis fikir,

"Dari mana datangnya keberanian seorang lelaki untuk mengahwini seorang perempuan?"

Dan selalu saya terdetik,

"Apa yang ada di fikiran seorang lelaki untuk membuat keputusan berat ini yakni bernikah?"

Tidakkah mereka ketahui yang pernikahan ini suatu 'pertaruhan'?

Ya. Dulu, saya melihat pernikahan ini indah-indah,
namun kini, saya memandang ia jauh ke depan dan saya memandang ia dengan lebih realistik.

Saya sentiasa mencari jawapan untuk persoalan-persoalan itu. Dan, saya sentiasa mahu menambah rasa tentang hal pernikahan ini.

Saya mahu jadi matang. Saya mahu yang baik-baik bukan sekadar yang sweet-sweet. Saya bukan anak remaja yang mahu suka-suka, manja-manja, sweet-sweet.

Saya ada matlamat.

Dan saya tahu, Pernikahan itu,
Tidak semudah mengajar breathing exercise.
Titik.

#Muhasabah. Koreksi.
#Ada sesuatu yang perlu difikirkan semula.
Allah, beri aku Nur.
 

Monday, September 3, 2012

Kongsi: Doa itu Solusi.


Assalamualaikum sahabat semua, hari ni saya nak kongsi satu kisah yang menyentuh hati bagi sesiapa yang merasa, berkenaan doa. Doa itu solusi, suatu penyelesaian bagi apa saja masalah. 

Percaya dan yakin hanya pada Allah. Doa itu usaha kecil kita. Sungguh-sungguh berdoa, InshaAllah akan Allah kabulkan. :)

Bismillah...

Kisah ini diceritakan oleh Anas,

Seorang sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم  iaitu sahabat Ansar yang dikenal dengan nama Abu Mu'laq adalah seorang ahli ibadah yang sangat menjaga diri. Dia juga dikenali sebagai ahli perniagaan yang hebat. Kerana kehebatannya, dia sering dijadikan contoh.

Suatu hari, dia pergi ke pasar. Seorang perompak menahannya. Si perompak itu bertopeng dan bersenjata.

"Letakkan hartamu, sebab aku akan membunuhmu," kata si perompak.

"Adakah engkau menginginkan darahku? Ambillah hartaku," Kata Abu Mu'laq.

"Kalau harta itu, jelas akan aku peroloeh, tetapi sekarang aku tidak ingin selain merampas darahmu," gertak si perompak.

"Baik, kalau engkau enggan memenuhi sarananku, biarkan aku solat empat rakaat dulu," kata Abu Mu'laq pula.

Kata si perompak, "Silakan kalau cuma sekadar solat."

Abu Mu'laq lantas berwudhu dan mengerjakan solat empat rakaat. Antara doanya diakhir sujud, yang maksudnya;

"Wahai Zat yang Maha Pengasih, Wahai Zat Pemilik Arsy yang mulia, Wahai Zat yang mengerjakan segala yang diinginkanNya, Aku meminta kepadaMu dengan kemuliaanMu yang tidak mungkin boleh ditandingi dan dengan kerajaanMu yang tidak mungkin boleh digenggam dan dengan cahayaMu yang memenuhi penjuru singgahsanaMu, agar Engkau menghindarkan aku daripada kejahatan perompak ini. Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku, Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku, Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku, Wahai Zat yang Maha menolong, tolonglah aku."

Abu Mu'laq mengulangi doanya sebanyak tiga kali. 

Tiba-tiba datang seorang penunggang haiwan yang membawa tombak, dia mengangkat tombak di antara kedua telinga haiwan kenderaannya. Ketika dia melihat perompak tadi, dia menghampirinya dan ditusukkannya tombak itu dan berjaya membunuhnya.

Kemudian penunggang tadi menemui Abu Mu'laq dan berkata, "Bangkitlah."

Abu Mu'laq bertanya, "Siapakah engkau sebenarnya? Allah menolongku dengan perantaraanmu hari ini."

"Aku adalah malaikat penghuni langit keempat, ketika aku mendengar doamu yang pertama, di langit ada suara bergemuruh. Ketika engkau memanjatkan doamu yang ketiga kalinya, aku mendengar suara,'ini adalah suara orang yang sedang dalam kesusahan'. Terus sahaja aku memohon kepada Allah agar menjadikan aku sebagai pembunuh perompak itu," demikian bicara malaikat itu kepada Abu Mu'laq.

Allah... Sungguh menyentuh hati kan.? :') Pertolongan Allah dari arah yang tidak disangka-sangka.

Anas mengulas cerita ini, perhatikan, siapa yang berwudhu dan solat empat rakaat dan memanjatkan doa ini, doanya akan dikabulkan, samaada ketika dia dalam kesusahan atau tidak. InshaAllah.

Yang terpenting bagi kita, bukanlah kisah Abu Mu'laq ini, tetapi mampu kah kita menjadi seperti Abu Mu'laq ini?
Yang menjadikan doa sebagai jalan penyelesaiannya dalam menghadapi kesusahan. 

Allahu Allah. Ramai antara kita yang lupa akan kepentingan berdoa ini, ramai yang meperlekehkan usaha doa ini. Sedarlah wahai sahabat, Allah itu Maha Kuasa, Maha Pengasih, Maha Pemberi, maka, mintalah apa saja yang baik daenganNya, nescaya akan Allah kabulkan.

Kalau berdoa 3 kali pun tak dapat, tambahlah lagi 4 kali. Janganlah cepat berputus asa, gandakan doa, sungguh-sungguh dan jaga adab berdoa. InshaAllah. Allah akan kabulkan.

Jangan bersedih. Bangkitlah! :')

Moga ada manfaatnya untuk semua. InshaAllah.

#Kisah ini saya kongsikan dari Buku Dahsyatnya energi Syukur, Istighfar, Muhasabah. Karangan Muhammad Azhar. 

Sebar Bahagia!

Wednesday, August 29, 2012

Kisah: Running Man?


Running Man yang bukan sekadar 'running'. 

Sejak dulu lagi, saya selalu tengok kawan-kawan saya tonton Running Man. 

Selalunya, saya akan duduk dan tengok mereka dari jauh. Mereka gelak, mereka sengih bila tengok Running Man.

Oh. Best sangat ke? :O

Dulu, saya pernah 'try-try' tengok bersama mereka, tapi, akhirnya saya pening. Macam serabut je. >___<

Dulu, saya jujurnya tak tahu apa itu Running Man. Cerita kah? Filem kah? Drama kah? Apakah?

Walking Man takde? Kenapa kena Running?

Haha. :D

Tak lawak pun Nur.. :p

Okay. Ni semua saya cerita, dulu, dulu dan dulu. Kalau dulu saya tak tahu apa itu Running Man, so kawan-kawan rasa sekarang saya tahu ke? ;)

Hihi. ^__^

Sebenarnya, sekarang ni, saya pun tak tahu sangat. Cumanya, baru-baru ni saya ada 'ilmu' sedikit berkenaan Running Man. 

Yeay. :) Hehe.

Yang saya tahu, Running Man ni macam game show, eh? Ke Reality Show? Ah, mana-mana lah. Dan, ada kumpulan kan? Kan? :)

Oh. Nama-nama pelakonnya saya tak tahu. >__<

Okay, dah, dah, berbalik pada 'kisah saya'. 
Macamni, baru-baru ni, saya memberi diri saya masa untuk tengok Running Man bersama adik saya. 

Saya tengok episod yang keberapa pun saya tak tahu, tapi yang saya tahu episod tu episod diorang main bola. (Ada sesape tahu? ;)) --> Episod 96. (Baru edit.:P)

Dalam episod tu saya dapat banyak hikmah. Huu. Best. Di samping gelak-gelak melihat keletah dan kecomelan mereka, ada hikmah yang tersirat. :)

Dalam episod tu, sorang pemain bola berpasangan dengan sorang peserta Running Man dalam satu kumpulan VS dengan kumpulan Running Man dalam perlawanan bola.

Kemudian, menariknya game ni, semua peserta Running Man diberi 'kuasa' tersendiri. Masing-masing ada kuasa yang berbeza. Mereka akan gunakan kuasa mereka dalam permainan tu. :)

Okay, awal-awal nampak cam mengarut dan takde fungsi pun kuasa mereka tu. Tapi bila dah masuk second half, kuasa mereka makin terserlah dan sangat bermanfaat untuk kumpulan Running Man.

Masa first half, memang kumpulan Running Man tu kalah sebab mereka takde skill main bola + tak reti lagi guna kuasa mereka. Huhu. Kesian. Tapi, bila dah mereka berbincang untuk perlawanan di second half, mereka nampak lebih teratur dan mereka mampu menyaingi kumpulan si pemain bola tu.

Huhu. Okay, nampak macam cerita saya ni berbelit.
Kawan-kawan faham ke?
Allahu, failed lah saya dalam bercerita. =_="

Apapun, sebenarnya apa yang saya nak sampaikan adalah:

Dalam kehidupan kita ni, Allah dah beri kita kelebihan masing-masing yang pastinya berbeza setiap seorang. 
Jika saya boleh ni, awak boleh tu. 
Jika dia boleh memasak, awak boleh berdebat. Lain.

Hanya saja, kita reti atau tidak untuk manfaatkan kelebihan kita?
Ada orang yang ada kelebihan, tapi gagal memanfaatkannya sehinggakan kelebihannya itu sia-sia. Macam peserta Running Man tadilah. Ada sorang peserta tu ada power untuk gerakkan tiang gol, tapi dia tak tahu macamana dan bila nak guna power tu. Jadi, SIA-SIA je lah power dia tu. 

Kan? 

Macam kita. Kalau kita ada kelebihan bercakap, ada kelebihan mencurah idea, tapi kita malu. Malu nak ke depan. Tak ke sia-sia kelebihan kita tu? :)

Dan, saya percaya, takde seorang pun manusia yang Allah cipta, tiada kelebihan. 

BIG NO!

Kerana apa? Kerana Allah tidak mencipta sesuatu itu sia-sia. Allah itu Maha Bijaksana. Sebenarnya, kita je yang tak tahu nak cungkil kelebihan kita dan tak tahu nak manfaatkan bagaimana.

Ok selesai berkenaan kelebihan. :)

Yang seterusnya daripada Running Man,
saya dapati yang kita ni perlukan masa. Masa untuk 'polish' kelebihan kita.

Ya. Allah lihat kesungguhan kita. Usaha kita. Doa kita.
Contohnya, kita ada kelebihan menulis, kita pandai menulis. Tapi, kita perlukan masa untuk kita bergelumang dengan penulisan.

Kita kena usaha baca macam-macam tulisan, kita kena usaha banyak mendengar macam-macam idea, kita kena usaha menulis sedikit demi sedikit, kita kena doa banyak-banyak untuk dapat redha Allah, dan sebagainya.

Ha, kita kena ada masa untuk merancang strategi untuk memanfaatkan kelebihan kita. 

Macam Running Man tadi. :)
Masa second half, selepas perancangan dan penelitian mereka, mereka mampu gunakan kuasa mereka sebaiknya. 
Mereka juga perlukan masa untuk membiasakan diri dengan kuasa yang mereka ada. 

Kita juga begitu. Perlukan masa untuk 'biasakan' diri dengan kelebihan kita. :)

Faham? Alhamdulillah. :)

Okay, yang ketiga, kerjasama. :)

Dalam hidup bermasyarakat, kita perlu kerjasama. Kalau hidup sorang-sorang dengan kelebihan sendiri, kita tidak mampu hidup bahagia.

Tak percaya? Cubalah. :)

Macam saya cakap tadi, kalau saya boleh ini, awak boleh itu.
Dan, bila kita bergabung dan berkerjasama, kita akan boleh ini dan itu.
Power kan? :)

Haa... Kan hebat tu? ♥

So, apa yang penting?
Kerjasama! 

Ingat, hebat macamana pun kita, kita tidak pernah sempurna untuk berjaya.
Kita adalah aset untuk orang lain, dan orang lain adalah aset untuk kita.
Kita saling memerlukan. Jadi, jangan sombong, jangan melangit ke atas sehingga lupa untuk menunduk ke bawah. :)

Alhamdulillah. :)
Itulah antara tiga hikmah yang saya dapat dari Running Man. Sebenarnya, banyak lagi, tapi tu je yang termampu saya tulis. :)

Hebat kan Allah?
Di sebalik sesuatu itu, Allah mahu mengajarkan sesuatu pada saya. Saya fikir pada awalnya, saya mungkin hanya akan gelak-gelak menonton Running Man.
Tapi sebenarnya tidak sama sekali. Allah tidak mahu membuat saya lupa, lantaran itu Allah mendidik hati saya.

Allahu Allah. Bersyukur rasa hati bila Allah sentiasa buat saya berfikir dan berfikir tentang kebesaran dan keindahan takdirNya. :)

Ya. Begitu juga untuk kawan semua. 
Jangan kita berhenti berfikir. :)

Berfikir dan berfikirlah. Jangan gelak-gelak saja. ♥

Akhir bicara Running Man,
"Isilah hatimu selalu dengan rasa kebersamaan dengan Allah. Jangan lupa Allah walau sedetik kerana Allah tak pernah lupakan kita."

Salam Sebar Bahagia! ♥

Cerpen: Vanilla Coklat


"Eh. Aisyah kata ketepi lah!"

Ridwan masih menghalang jugak. Semakin berani dan semakin mendekat.Aisyah mendesah. Geram. Marah. Menyampah. Aisyah berdiri tidak bergerak ke hadapan lagi. 

'Lelaki ini perlu diajar lagi' detik hati Aisyah. Marahnya menguasai.

"Dengar dulu penjelasan abang." Ridwan merasa keletihan, bercakap pada nada rendah dengan suara sedikit memujuk.

Namun, hati keras Aisyah masakan mampu terpujuk. Bentengnya kukuh tak akan diruntuh.

"Maaf. Aisyah takde masa. Tolong. Tolong ketepi." tegas, tegang, keras. Suara Aisyah memang tiada tanda termakan pujuk.

Ridwan mengalah. Mahu ditarik lengan Aisyah, takut penumbuk Aisyah mengena muka. Mahu dihalang lagi, risau Aisyah menjerit mencanang satu kompleks beli-belah itu.

Akhirnya, Ridwan mengalah lagi dan lagi. 

Aisyah pergi tanpa pamitan, Aisyah pergi tanpa penjelasan, Aisyah pergi tanpa memberi maaf.

Ridwan kecewa. Kecewa yang amat sangat. 

**********************************************************************************

“Aisyah.!” 

Aisyah sedikit terperanjat. Fokusnya menerbang, hafalannya tersekat. Seketika kemudian, istighfar meniti dibibir Aisyah.

“Ye kenapa?” Aisyah acuh tidak acuh seakan mampu mengagak perkhabarannya yang mahu diceritakan oleh Zahirah.

“Kau dengan Ridwan betul ke..?”

“Yup.” Belum habis Zahirah menutur bicara, Aisyah terlebih dulu menjawab. Soalannya mudah ditebak, untuk apa menunggu memberi jawapan kalau jawapan sudah tersedia?

Aisyah senyum.

“Eh, yang kau senyum tetiba ni kenapa?” Zahirah menyiku lengan Aisyah lantas menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.

“Takde apa.” Aisyah memandang Zahirah dengan senyuman yang Zahirah langsung tidak faham akan maksudnya.

“Benda kecil macam tu pun kau nak gaduhkan Aisyah.” Zahirah menyimpul kisah tanpa mengetahui cerita sebenar. Aisyah memandang tepat ke anak mata Zahirah. Jiwanya membara.

“Kecil? Kecil kau kata?” suara Aisyah meninggi sedikit. Mahu memberitahu Zahirah yakni hal itu bukan kecil. Bukan sesuatu yang biasa-biasa.

“Ala..setakat…”

“Tak. Itu bukan setakat, setakat.” Sekali lagi Aisyah memotong bicara Aisyah. 

Aisyah bangkit mengemas buku-bukunya yang berselerakan. Zahirah termangu-mangu memandang. 

“Eh, kau nak pergi mana pulak ni Aisyah? Aku tak habis cakap lagi lah.” 

Aisyah diam. Kemudian, dia beredar meninggalkan Zahirah bersama buku-buku ditangan.

“Aisyah! Aisyah!” Zahirah kesal. Dahi dikerutkan kuat. 

‘Aisyah ni. Keras hati betul.’ Hati Zahirah menilai lagi.

******************************************************************************

Seawal pukul 7.30 pagi, Aisyah sudah mengisi dewan kuliah. Bahagia hati Aisyah, ulangkajinya pasti akan berjalan lancar pagi ini.

Sambil berzikrullah, Aisyah membaca-baca buku Pathophysiology ditangannya. Terasa nikmat sekali membaca dengan tenang tanpa bingit suara orang lain. 

Aisyah tersenyum-senyum.

Namun, nikmat itu ternyata hanya sementara. Tiba-tiba, kerusi disebelahnya diisi seseorang. 

“Assalamualaikum.” 

Aisyah menggigit bibir. Ah. Suara itu.

“Waalaikumussalam.” Aisyah menjawab tanpa memalingkan wajah. Yang terlayar dimindanya hanyalah sekadar bagaimana dirinya mahu lari dari keadaan ini.

“Abang, abang...” 

“Apa abang, abang.!” Aisyah membelakangkan badannya. Marah.

Ridwan meraup wajah. Mencari kekuatan.

“Cuba dengar sekejap.” Ridwan memujuk lagi. 

Aisyah berdiri. Ridwan ikut berdiri.

“Aisyah.” 

“Diam.! Aisyah tak nak dengar apa-apa pun.” Aisyah segera meninggalkan Ridwan lagi dan mencari tempat duduk yang lain.

Ridwan kecewa lagi. Ah. Mahu berputus asa rasanya.

‘Mahal sangat ke sebuah kemaafan?’ desis hati Ridwan.

****************************************************************************

Aisyah mengurung diri. 

Ummi memanggil turun untuk makan. Aisyah menolak. Abah juga memujuk untuk turun. Aisyah masih menolak.

Aisyah memaut ke dua lututnya, duduk di hujung katil dengan linangan air mata. Bukan kerana memarahi Ridwan, bukan kerana membenci Ridwan, bukan juga kerana masih berdendam dengan Ridwan.

Tapi, hanyalah kerana dirinya sedang memarahi diri sendiri.

‘Mahal ke sebuah kemaafan?’ desis hati Aisyah.

‘Kenapa sukar benar diri ini untuk mendengar penjelasannya?’

‘Kenapa dalam hati ni ada rasa benci, marah, geram?’

‘Bukan aku tak tahu, aku tahu. Tapi susah untuk aku tamsilkan dengan perbuatan.’

‘Ya Allah. Lemahnya aku.’

Aisyah mengesat lagi air mata.

“Aisyah… Ridwan ada kat bawah.” Suara ummi dari luar bilik kedengaran. 

Aisyah terhenti dengan senduannya. 

“Jadi..??” Aisyah menguatkan suaranya membalas bicara ummi tanpa membuka pintu.

“Turunlah.” Ummi memujuk lagi.

“Tak mahu.” Aisyah menolak untuk ke sekian kalinya.

“Aisyah anak yang solehah, buka pintu ni sayang.” Ummi ‘menyuntik’ ubat hati ke hati Aisyah. Aisyah ‘melebur’ seketika.

Pintu dibuka. Ummi kelihatan dengan senyuman. 

“Aisyah tak nak Ummi. Aisyah tak nak makan, Aisyah tak nak turun, Aisyah tak nak jumpa lelaki tu.” Aisyah memberi jawapan sebelum Ummi bertanya apa-apa.

Ummi senyum lagi. 

“Ummi tak cakap apa pun lagi.” Ummi memegang lembut bahu Aisyah. Aisyah mendengus.

“Aisyah tahu Ummi nak cakap apa.” 

“Ridwan tak salah apa. Kenapa Aisyah nak marah sangat?” soalan Ummi tidak terjangka oleh Aisyah.

Aisyah diam.

“Benda tu tak sengaja pun. Ridwan tak tahu. Kenapa Aisyah nak marah sampai berhari-hari?”

Aisyah diam lagi.

“Aisyah… Ummi tahu betapa sayangnya Aisyah pada Ridwan, dan betapa sayangnya Ridwan pada Aisyah. Janganlah sebab hal kecil ni, Aisyah nak marah Ridwan sampai berhari-hari. Kesian Ridwan.” Ummi pujuk.

“Ini bukan hal kecil Ummi.” Aisyah masih mengeraskan hati.

“Dah tu? Hal besar ke?” 

Aisyah diam dan diam.

“Diam dan larikan diri dua tiga kali tak akan selesaikan masalah sayang.” 

“Biarlah. Aisyah memang tak nak selesaikan masalah.” Aisyah berundur dari ummi dan membaringkan diri di atas katil. Selimut ditarik menutupi badan.

“Aisyah.. Ummi tak habis cakap lagi.” 

“Dah kira habislah tu Ummi. Aisyah mengantuk.” Aisyah buat-buat menguap.

Ummi mengalah juga akhirnya. Anak gadisnya itu sengaja mengeraskan hati. 

Sebelum keluar dari bilik Aisyah, Ummi sempat membisikkan sesuatu ke telinga Aisyah. Aisyah mendengar dengan jelas, walaupun matanya tertutup.

“Orang yang paling mulia pada pandangan Allah adalah orang yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”

Aisyah membeku. Memekakkan telinga, menebalkan hati.

‘Mahalnya harga sebuah kemaafan Aisyah.’ Ummi mengeluh kecil.

***************************************************************************
Hari ini hari Ahad yang indah. Seindah hati Aisyah. 

Hari bercuti memang nikmat, hari bercuti memang seronok untuk berlayar.

Berlayar? 

Ye. Berlayar di laman maya.

Aisyah tersengih seorang. 

Seperti biasa, di bawah pokok mangga di belakang rumah yang merupakan tempat kesukaannya, Aisyah bersama komputer riba kesayangan, ralit melayari internet. Daripada ruangan facebook, twitter, blog, youtube, semua diterjahnya. 

Seketika di Facebook, Aisyah kaku sebentar tatkala melihat ‘Ridwan Muhammad’ mengirim sesuatu di wallnya. Oh. Video.

‘Mahu buka atau padam saja?’ Aisyah teragak-agak.

‘Buka? Padam? Buka? Padam? Buka? Padam?’ Aisyah menggigit jari.

‘Buka jelah.’ Kedengaran bisikan halus di telinga. Aisyah ‘gagah’ membawa jari-jemarinya menekan play pada video yang dikirim Ridwan.

Video Al-Habib Al-Jufri. “Bagaimana kamu memandang diri kamu?”

Aisyah tersentak. Hatinya sebak mendengar setiap bicaranya. Setiap satu kata-katanya menjengah dan meresap di minda.

“Rasulullah itu semakin bertambah ketakutan pada Allah, semakin bertambah tawaduk, semakin bertambah kasih sayang terhadap makhluk.” 

Aisyah mencerna. ‘Adakah sifat itu pada diriku?’ Aisyah merasa hiba. Malu.

“Kesolehahan seseorang muslim akan terpancar pada akhlaknya.”

Aisyah terasa. Sangat terasa. ‘Solehah ke aku? Aku tahu agama, tapi aku pemarah, aku pembenci.’ Aisyah menekup mukanya.

“Di mana ada akhlak yang mulia, di situlah tanda adanya agama. Di mana ada akhlak yang mulia, disitulah tanda adanya ilmu.”

Airmata Aisyah berlinangan lagi. Hati sensitifnya disentuh. ‘Bila ada agama dan ilmu, pastinya ada akhlak yang mulia. Aku??’ 

“Setiap yang berilmu dan beragama, jika tidak terzahir padanya akhlak yang mulia, maka disitulah ada kecacatan pada orang yang berilmu dan beragama.” 

‘Allah.. Aku silap ya Allah. Akhlak ku buruk. Aku berdendam. Aku tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Betapa cacatnya aku dalam beragama dan berilmu.’ Aisyah memarahi diri. Aisyah menangis semahunya.

Terakhir sekali, Aisyah terduduk mengingatkan kata-kata ini,

“Pandanglah muslim lain dengan pandangan kasih sayang. Walau seburuk manapun dia, ingat, kita tidak pernah ada kelayakan untuk menilai.”

Aisyah merasa bersalah yang teramat sangat. Ya. Dia kebudak-budakan. Si remaja yang semakin dewasa, tetapi pemikiran masih di tahap kanak-kanak.

Sebelum menutup komputer ribanya, Aisyah merenung kata-kata yang diberikan oleh Ridwan bersama-sama video tadi.

“Berjaga-jagalah wahai orang yang menuju Allah. Jangan kamu melihat orang yang berdosa atau orang yang berbuat maksiat dengan pandangan penghinaan. Itulah keadaan yang sangat membahayakan.”

Aisyah bangkit dan sedia untuk beralah memaafkan Ridwan.

‘Aisyah, mari memecah rasa. Kemaafan itu tidak mahal harganya.’ Aisyah tekad.

Senyum. Senyum menghiasi seiring langkah Aisyah.

Aisyah mahu mendidik hatinya. Cuba mendidik hati. :)

*****************************************************************************

“Dunia ini hanya sementara. Tidak akan kekal kerana wujudnya negeri Akhirat yang kekal abadi. Dunia ini terlalu singkat untuk kita berbenci-benci, berdendam dan marah-memarahi. Sungguh, meminta maaf itu mudah dan memberi maaf itu perlu dimudah-mudahkan.”

Aisyah mengamati dan memahami kata-kata itu sedalamnya. Ya. Lupakan semuanya dan berilah maaf.

Aisyah memandang sekilas Ridwan di hadapannya, ummi disebelahnya dan abah disebelah Ridwan.

Hari ini hari ‘perhitungan’ dan ‘penjelasan’ mereka. Setelah sekian lama Aisyah melarikan diri, setelah berkali-kali Ridwan cuba memujuk, hari ini Aisyah berhenti berlari dan Ridwan berjaya mahu menjelaskan.

Ummi dan abah tersenyum-senyum melihat Aisyah dan Ridwan. Masing-masing bisu mahu memulakan. 

“Siapa nak mula ni, kalau dua-dua senyap je.” Abah memecah keheningan. Ridwan mengangkat muka.

“Ermm. Wan nak mula. Wan nak jelaskan.” Ridwan memandang tepat Aisyah. Aisyah menayangkan muka setuju.

“Sebenarnya. Abang pun tak tahu, kenapa Aisyah marah sangat. Sebab, abang rasa benda ni benda kecil je.” 

Aisyah mahu membuka mulut, Ummi menghalang. 

“Sabar. Bagi Ridwan habis cakap dulu.” Ummi bersuara lagak pengadil.

Aisyah akur.

“Apa sebenarnya yang berlaku?” Abah mencelah memberi rasa ingin tahu, apa yang kecil sebenarnya?

“Minggu lepas, masa tu Wan baru balik dari kelas. Wan rasa dahaga sangat, Wan pergilah minum air. Lepas tu, masa buka peti ais, Wan Nampak ada aiskrim Vanilla Coklat. Wan pun makanlah. Tengah-tengah seronok makan, tetiba Aisyah datang. Aisyah marah-marah, mengamuk macam orang dah hilang anak bila tengok Wan makan aiskrim tu, sebab aiskrim tu dia punya.”

“Aisyah marah sebab Wan makan aiskrim Aisyah?” Abah tersengih.

Aisyah mula mahu mencebik marah, tapi cuba ditahan-tahan.

“Aiskrim tu kan aiskrim Aisyah. Aisyah dah pesan kat semua, JANGAN MAKAN AISKRIM VANILLA COKLAT Aisyah. Jangan makan. Kan dah Aisyah ingatkan berkali-kali!” Aisyah mahu membuak marah. Lagi.

“Aisyah.” Ummi mengenggam tangan Aisyah. Aisyah faham isyarat Ummi.

‘Sabar Aisyah. Nak jadi muslimah solehah kan.’ bicara hati Aisyah. 

Seketika kemudian, ummi sengih. Abah menahan ketawa. Ridwan membuat muka bersalah.

“Yelah. Salah abang. Abang kan dah minta maaf hari tu. Tapi, Aisyah tak nak maafkan. Penat abang pujuk.” Ridwan kini beralih disebelah Aisyah.

Aisyah mengensot menjauh. Mahu marah lagi. Eh. Bukan, mahu dipujuk lagi.

“Setakat Aiskrim..nak marah sampai…” Ummi menekup mulut mahu gelak.

“Ummi..! Ni bukan setakat-setakat la..” Aisyah bengang. Ridwan juga ikut mahu sengih.

“Dahlah. Tak nak kawan semua.” Aisyah sudah mahu bangkit.

“Eh. Nak lari lagi ke?” Ummi, abah, Ridwan berkata serentak.

Aisyah tak jadi berdiri. Duduk semula. Ridwan di sebelahnya dijeling tajam.

“Allah. Merajuk lagi ke?” Ridwan masih usaha.

“Bukan merajuk. Tapi tak suka. Lain kali, aiskrim Aisyah jangan usik. Aisyah tak suka.” Tegas Aisyah.

“Aisyah, Kesolehahan seseorang muslim akan terpancar pada akhlaknya kan?” Ridwan ‘mengugut’.

Aisyah diam. Melembutkan hati, memecahkan rasa. Jangan keras, jangan marah. 

“Sebagai tanda maaf abang, abang ada belikan aiskrim Vanilla coklat. Ada kat peti ais. Nanti Aisyah makan eh.” Ridwan senyum. Ummi dan abah turut senyum.

Aisyah masih diam. 

“Aisyah, maafkan abang tak?” Aisyah di sebelahnya direnung.

Aisyah masih juga diam dan tiba-tiba Aisyah berdiri.

“Eh. Nak pergi mana?” Ridwan memegang lengan Aisyah. 

“Aisyah nak pergi ambik aiskrim.” Aisyah melucutkan tangan Ridwan dan berlari masuk ke dapur.

“Aisyah! Maafkan abang tak??!!!” jerit Ridwan pabila Aisyah sudah menjauh mereka memasuki dapur.

Dari dalam kedengaran suara Aisyah,

“Aisyah dah maafkan lama dah, tapi saja nak mainkan abang..!!!” 

Ridwan senyum. Ummi dan abah gelak.

‘Alahai adik kembar comel ku Aisyah, nakal sekali kamu ya..!’ desis hati Ridwan.

Ya. Itulah kisah Aisyah dan Ridwan.Si nakal Aisyah yang kononnya keras tapi sensitif hatinya. Hanya kerana aiskrim Vanilla Coklat, dia bermasam muka dengan abangnya yang penyayang.

Ridwan pula, si abang yang sentiasa merasa apa yang Aisyah rasa. Tidak menyerah walau dimarah. Rajuknya Aisyah tidak dipandang remeh. Semampu yang boleh, akan dipujuk dan terus akan dipujuk.

Apapun, Aisyah cuba memecah rasa, cuba keluar dari kepompong kekerasan hatinya. 

Begitulah sepatutnyai kita, mari kita cuba memecah rasa kita. Jangan terlalu selesa dengan sikap buruk kita. 

Merajuk kadang-kadang itu comel. Tapi kalau lama-lama sangat, tu bukan comel dah, tapi penyakit. 

Mari, mari jadi hamba Allah yang mudah meminta maaf dan mudah memberi maaf. Selesaikan secara baik masalah dengan manusia. Jangan memendam, jangan marah-marah.

Senyum, senyum, senyum. ;) 

Alhamdulillah. Tamat. :)

Memecah Rasa kerana Aiskrim Vanilla Coklat. Eh, bukan. Kerana Allah. :) ♥

Jom, Sebar Bahagia. ♥

Salawat, salawat, salawat lagi. :)

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم